Sunday, December 25, 2011

Iman dan hati

Oleh: Dr. Hussin Syahatah

Iman letaknya di hati:

Dengan kurniaan Allah SWT telah menjadikan hati di tanganNya yang boleh berubah-ubah sebagaimana yang dikehendakiNya. Hanya Dia sahaja yang boleh mencampakkan iman ke dalam hati hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa , berdasarkan firman Allah SWT:

“Akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.  (Al-Hujurat: 7-8)

Apabila hati telah dihidupkan dengan iman maka akan menggerakkan semua emosi, perasaan dan anggota ke arah kebaikan dan amal salih. Hati adalah tempat bergantung. Hati yang menyuruh dan melarang , sedang anggota lain hanya mengikutnya. Rasulullah saw telah menggambarkan keadaan ini di dalam sabdanya:

“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik seketul daging itu, baiklah seluruh jasad dan jika rosak, maka akan rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah! Seketul daging yang aku maksudkan itu ialah hati "(Bukhari dan Muslim),

Setiap kali iman betambah di dalam hati, bertambah kekuatan baik dan terbuka dada orang beriman untuk menambahkan amal-amal salih.

Hati perlukan kepada pembaharuan iman

Seorang muslim sentiasa perlukan makanan jiwa yang baharu; seumpama muatan iman  yang melapangkan dadanya untuk bergerak ke hadapan dalam perbuatan baik dan amal salih. Oleh itu, jika seorang muslim lalai mendapatkan makanan hatinya, maka ia menjadi lemah, sakit atau mati. Allah SWT telah menjelaskan kesan iman dalam hati melalui firmanNya (bermaksud):

“dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”  (At-Taghabun: 11),

Allah SWT telah memasukkan cahaya ke dalam hati hamba yang mukmin dengan sebab amal-amal salih yang dilakukannya, yang melapangkan dada dan menggembira hatinya. Justeru, ia menjadi seorang yang zuhud di dunia, beramal untuk akhirat dan bersedia untuk bertemu Tuhannya. Di antara dalil ialah seperti yang disebut oleh Nabi saw (bermaksud):

"Menjauhkan diri dari negeri yang melalaikan dan mendekatkan diri kepada negeri yang kekal abadi, dan bersedia untuk mati sebelum kedatangan mati " (Riwayat oleh Ibn Abi Dunia dan al-Hakim di dalam al-Mustadraknya ),

Benarlah Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.”  (Az-Zumar: 22),

Di antara cara memperbaharui iman di dalam hati ialah: Berzikir, berdoa, merasai keagungan Allah, merenung makhluk-makhlukNya, mengingati mati, ziarah kubur, kesetiaan kepada orang-orang yang beriman dan bergaul dengan hamba-hamba Allah yang salih.

Dosa melemahkan iman di dalam hati

Dosa dan maksiat akan melemahkan iman dan menjangkiti hati dengan pelbagai penyakit, seperti kekerasan, kebengisan, kekufuran, menuruti hawa nafsu, lalai, cintakan dunia, cintakan harta, bermegah-megah, malas beribadat dan melakukan amal soleh, berakhlak buruk dan menyeleweng dari jalan yang lurus. Allah SWT telah menegaskan di dalam banyak ayat Al-Quran tentang hal ini, antaranya firman Allah SWT tentang perihal orang-orang kafir:

“Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka.” (Al-Maidah: 41),

Perihal orang-orang Yahudi yang munafik. Allah SWT menyebutkan:

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”  (Al-Baqarah: 74),

“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).” (Al-Maidah: 13),

Rasulullah saw telah menjelaskan kesan dosa dalam hati dalam sabdanya:

“Sesungguhnya ketika seorang mukmin melakukan satu dosa, maka satu titik hitam akan ditorehkan di hatinya, namun apabila ia bertaubat, menarik diri dari perbuatan itu dan meminta ampun, maka hatinya akan dibersihkan kembali. Tetapi sebaliknya, jika semakin sering dia melakukan dosa, maka titik hitam tersebut akan semakin bertambah hingga akan semakin hitam….(HR Tirmizi, No.3334)

Itulah kekotoran yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan berfirman (maksudnya):

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.  (Al-Mutaffifin: 14),

Bagi mengelakkan iman di dalam hati berkurang Rasulullah saw menyuruh kita membanyak zikir dan doa, berkata:

" Iman dijadikan di tengah-tengah anda sama seperti pakaian dijadikan. Oleh itu, mintalah kepada Allah supaya memperbaharui iman di dalam hati anda, "

Rasulullah saw bersabda lagi:

" Tidaklah di dalam hati melainkan baginya terdapat awan seperti awan bulan yang ada kalanya bersinar, apabila awan menutupinya, maka bulan menjadi gelap, dan jika ia terbuka maka bersinar cahayanya. "

 Begitu juga dalam sabda Rasulullah saw yang lain:

"Sesungguhnya hati boleh berkarat sama seperti keluli yang boleh berkarat. Cara membersihkannya ialah dengan berzikir kepada Allah "(Riwayat oleh al-Bayhaqi).

Antara doa yang menerangkan hati ialah:

اللهم نقِّ قلوبنا من الخطايا كما ينقَّى الثوب الأبيض من الدنس.
“Ya Allah, sucikanlah hati kami daripada kesalahan dan dosa seperti bersihnya pakaian putih daripada kekotoran.”

اللهم اشرح لنا صدورنا ويسر لنا أمورنا
“Ya Allah, lapangkanlah dada kami dan permudahkanlah urusan kami.

اللهم إننا نسألك إيمانًا يباشر قلوبنا
“Ya Allah, kami memohon kapadaMu iman yang dapat menghidupkan hati kami.”

اللهم نسألك رحمةً من عندك تهدي بها قلوبنا
Ya Allah, kami memohon kepada rahmat dari sisiMu agar memimpin hati-hati kami.”

اللهم زيِّن الإيمان في قلوبنا واجعلنا من عبادك الراشدين.
“Ya Allah, hiasilah di dalam hati kami dengan iman dan jadikanlah kami termasuk ke dalam hamba-hambaMu yang dikurniakan hidayah.”

اللهم لا تجعل في قلوبنا غلاًّ للذين آمنوا
“Ya Allah, janganlah jadikan hati berdendam dan berdengki kepada orang-orang yang beriman.

اللهم أَلّفْ بين قلوبنا واجعلنا بنعمتك إخوانًا متحابين
“Ya Allah, satukanlah hati-hati kami dan jadikan kami dengan nikmatMu kami bersaudara dengan saling kasih-mengasihi antara satu sama lain .

اللهم اكتب في قلوبنا الإيمان وأيِّدنا بروح من عندك
“Ya Allah, tuliskan iman di dalam hati kami dan teguhkanlah kami dengan roh dari sisiMu.

-----------
* Profesor di Universiti Al-Azhar Al-Syarif. 


Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

1 ulasan

  1. jazakAllahu Khairan Jaza

    Sedang dalam tarbiyah membuang karat Jahiliyah dalam diri

    Mohon copy,

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top