Sunday, December 12, 2010

Kelebihan jihad dan mati syahid di jalan Allah (2)



Oleh: Syikh Hijazi Ibrahim Tsarya

Wahai saudara yang dikasihi,
Orang-orang yang berjihad di jalan Allah, Allah akan melipat gandakan ganjaran mereka, mengurniakan pahala kepada mereka dan menjadikan mereka dalam keadaan menuai hasil secara berterusan tanpa henti. Peristiwa yang dilihat baginda saw pada malam Isra’ialah baginda mendatangi satu kaum yang bercucuk tanam pada satu hari dan menuai hasil pada hari sama. Setiap kali mereka menuai hasilnya ia kembali seperti asal.

Sabda nabi saw: “Wahai Jibril, apakah ini? Menurut Jibril: Mereka ialah orang-orang yang berjihad di jalan Allah yang dilipat gandakan pahala mereka dengan 700 gandaan. Tiada yang mereka nafkahkan akan dibiarkan tanpa dibalas”. (Al-Bazzar)

Para sahabat dengan segera merebut pemberian dan anugerah dari Rasulullah ini. Mereka berlumba-lumba ke medan jihad dan berlumba-lumba menuju kepada syahid di jalan Allah. Semasa di dalam Peperangan Badar ketika tentera muslimin bertembung dengan tentera musyrikin. Rasulullah telah bersabda: “Bangkitlah menuju ke syurga yang seluas langit dan bumi”. Lalu Umair bin al-Humam al-Ansori berkata: Wahai Rasulullah, Adakah syurga seluas langit dan bumi?. Jawab nabi: “Ya”. Umair berkata: Bakh bakh (menjerit-jerit). Nabi bersabda: Apakah maksud dari perkataanmu bakh bakh?. Lalu Umair menjawab: Demi Allah wahai Rasulullah, tidak saya berkata demikian, saya cuma berharap supaya saya termasuk ke dalamnya. Lalu nabi menyatakan: “Kamu termasuk ke dalamnya”. Lalu dia mengeluarkan beberapa biji tamar dari tangkainya. Lalu dia makan semuanya. Kemudian berkata: Sekiranya saya berkesempatan hidup sehingga saya menghabiskan semua tamar saya ini bermakna saya mengecapi hidup yang panjang. Lalu beliau melemparkan buah tamar yang masih ada padanya. Kemudian beliau segera membunuh mereka sehingga beliau terkorban. (Sahih Muslim)

Wahai para mukminin,
Alangkah agungnya generasi ini yang membawa panji Islam, kerana mara kepada jihad dan bersedia untuk syahid, yang bersedia menggunakan pedang, panah, lembing dan apa jua, bahkan kecederaan dan kesakitan tidak menghalang untuk meneruskan pukulan kepada musuh. Alangkah agungnya contoh teladan ini di dalam jihad dan pengorbanan seperti sikap yang dipamerkan Anas bin Nadhar di dalam Perang Uhud.

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: Anas bin Nadhar adalah seorang yang buta mata dan tidak menyertai Perang Badar. Lalu beliau berkata kepada nabi saw: Wahai Rasulullah, aku tidak turut serta dalam peperangan pertama menentang musyrikin. Sekiranya Allah memberi peluang saya memerangi musyrikin nescaya Allah akan melihat apa yang saya lakukan. Takala berlaku Perang Uhud dan tentera Islam bertempiaran lari. Rasulullah bersabda: “Ya Allah, saya meminta ampun di atas perbuatan mereka (sahabat) dan saya berserah kepadaMu terhadap apa yang mereka lakukan (musyrikin)”. Kemudian baginda mara ke hadapan dan diiringi Saad bin Muaz. Sabda nabi: “Wahai Saad bin Muaz, syurga. Beruntunglah anak Nadhar kerana saya telah mencium bauannya pada ketika Uhud”. Saad berkata: Saya tidak mampu melakukannya seperti apa yang ia lakukan wahai Rasulullah. Menurut Anas: Kami mendapati pada tubuhnya terdapat lebih 80 tikaman pedang atau panah. Kami dapati beliau telah terkorban dan sama jua keadaan musyrikin. Tiada seorang pun yang dapat mengenalinya melainkan anak saudaranya. Anas berkata: Pada pendapat kami ayat ini turun tentangnya atau menyerupai tentangnya. Firman Allah:

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang Telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya), (Al-Ahzab: 23) (Sahih Muslim)

Wahai saudara yang dihormati,
Janganlah kalian mengira bahawa ganjaran jihad di jalan Allah terbatas buat mereka yang berhadapan dengan musuh di medan pertempuran, medan peperangan dan pertembungan ketenteraan, bahkan terdapat pelbagai pintu untuk memperolehi pahala para mujahidin dan mengharapkan syahid di jalan Allah. Di antaranya ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam dan menyampaikan nasihat kepada orang-orang yang zalim. Bahkan ini adalah jihad yang paling besar.

Daripada Abu said al-Khudri bahawa nabi saw bersabda: “Di antara jihad yang paling besar ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”. (Tirmizi)

Justeru, apabila ia berkata benar dan menyuruhnya melakukan perkara yang baik, ia terdedah kepada kematian dan kebinasaan. Oleh sebab itu perbuatan ini dikira sebagai jihad yang paling besar. Ada pendapat yang mengatakan: Sebab ianya sebagai jihad yang paling besar kerana kezaliman pemerintah berlaku kepada semua orang melalui kuasa yang ada di tangannya. Apabila seseorang mencegahnya berbuat zalim, maka manfaat akan dirasai oleh ramai manusia, berbeza membunuh orang kafir.

Sesiapa yang terkorban kerana menyatakan kebenaran, maka kedudukannya menyerupai penghulu para syuhada’.

Daripada Jabir r.a, daripada nabi saw yang bersabda: “Penghulu para syuhada’ ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim. Lalu menyuruh kepada yang baik dan menegahnya dari yang mungkar. Lalu beliau telah mati dibunuh”. (Al-Hakim)

Mempersiapkan para mujahidin atau melakukan usaha-usaha menyediakan mereka mendapat kedudukan berperang di jalan Allah.

Daripada Zaid bin Khalid al-Jahny r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang mempersiapkan orang yang berperang pada jalan Allah, maka ia dikira berperang, dan barangsiapa yang berada di belakang orang yang berperang pada jalan Allah dengan menyumbang sesuatu kebaikan, maka ia dikira berperang”. (Sahih Bukhari:  2843 dan Sahih Muslim: 5011)

Allah menggandakan pahala sehingga 700 gandaan kepada sumbangan perang.

Daripada Khuraim bin Fatik r.a berkata: Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang memberi sumbangan pada jalan Allah, dituliskan untuknya 700 gandaan”. (Tirmizi)

Oleh sebab itu para sahabat berlumba-lumba memberi sumbangan pada jalan Allah. Di dalam Perang Tabuk, situasi tentera Islam berada dalam keadaan paling miskin kerana kesusahan dan kesempitan ketika orang Islam disuruh melakukan persiapan. Justeru hal ini menggalakkan golongan yang kaya untuk menyumbang dan menderma pada jalan Allah. Uthman bin Affan telah memberikan sumbangan yang besarsehingga tiada seorangpun yang seumpama dengannya. Beliau telah menderma sebanyak 1000 dinar kepada tentera di dalam Perang Tabuk. Di dalam satu riwayat: Beliau memberi komitmen 300 ekor unta siap dengan alas memasang pelana dan makanannya. 

Rasulullah saw telah bersabda:

“Ya Allah berilah keredhaan kepada Uthman kerana sesungguhnya saya redha kepadanya”.

Abdul Rahman bin Auf menderma 200 auqiah perak. Abu Bakar menderma semua hartanya dan tidak meninggalkan sedikitpun kepada ahli keluarganya melainkan Allah dan rasulNya. Umar menderma separuh dari hartanya. Al-Abbas menderma harta yang banyak. Talhah, Saad bin Ubadah dan Muhammad bin Muslimah turut menderma dengan harta mereka.

Malahan niat yang murni dan keinginan yang suci di dalam jihad dan berdoa dengan ikhlas supaya Allah menganugerahkan syahid, maka ia akan dinaikkan ke darjat syuhada’ walaupun mati di atas perbaringannya.

Daripada Sahal bin Abu Umamah bin Hunaif yang memberitahu daripada bapanya daripada datuknya bahawa nabi saw telah bersabda: “Barangsiapa meminta kepada Allah mati syahid dengan tulus, nescaya Allah akan menyampaikannya kepada kedudukan para syuhada’ sekalipun beliau mati di atas perbaringannya”. (Sahih Muslim: 5039)

Daripada Anas bin Malik r.a berkata; bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang meminta mati syahid dengan tulus nescaya (Allah) akan memberikannya (kedudukan itu) sekalipun beliau tidak mati dalam keadaan syahid”. (Sahih Muslim: 5038)

Allah telah menjadikan mereka sebagai golongan syuhada’ yang paling ramai di kalangan umat.

Daripada Ibn Mas’ud r.a, daripada Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya syuhada’ yang paling ramai di kalangan umatku ialah yang mati di perbaringan dan orang yang terbunuh yang berada antara dua barisan di`` mana Allah mengetahui niatnya”.  (Ahmad: 3845 dan Ibn Abi Syaibah: 403)

Wahai muslimin,
Apabila jihad itu tanda iman yang sebenar dan jalan yang betul dan cepat menuju ke syurga yang seluas langit dan bumi, maka enggan melaksanakan jihad itu tanda kurang iman.


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah saw telah bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pergi berperang, dan tidak terdetik di dalam jiwanya (untuk pergi berperang), maka matinya satu cabang dari nifaq”. (Sahih Muslim: 5040)

Bahkan Allah akan menurunkan azab yang pedih di dunia kepada orang yang mencintai kehidupan dan enggan berjihad. Firman Allah:

“38. Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia Ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.39.  Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (At-Taubah: 38-39)

Perhatikanlah wahai saudara yang dikasihi, Bagaimana nabi saw telah menjadikan jalan untuk mengelakkan dari kehinaan dan mengembalikan kepada kemuliaan, ialah dengan cara kembali kepada agama. Tidak mungkin dapat kembali kepada agama dan tertegak syariat Islam melainkan dengan jihad pada jalan Allah. Inilah perniagaan yang menguntungkan dan menyelamatkan dari azab yang pedih, memperolehi syurga dan jalan mencapai kemenangan. Firman Allah:

“10.  Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?11.  (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.12.  Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.13.  Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman”. (As-Soff: 10-13)

Wahai saudara-saudara muslimin,
Sesungguhnya umat yang mengelokkan cara kematian dan mengetahui cara mendapatkan kematian yang mulia, nescaya Allah mengurniakan kehidupan yang mulia di dunia dan nikmat yang kekal di akhirat. Apakah “wahn” (kelemahan) yang menyebabkan kita mendapat kehinaan? Iaitu cintakan dunia dan bencikan mati. Justeru kembalikan dirimu untuk melakukan pekerjaan yang agung dan rebutlah kematian yang menyebabkan kamu mendapat kehidupan yang sebenar.

Ketahuilah bahawa kematian adalah satu kemestian yang tidak dapat dielakkan. Ianya hanya berlaku sekali. Seandainya kematian yang menimpamu itu pada jalan Allah, maka itulah keuntungan di dunia dan pahala di akhirat. Tidaklah sesuatu menimpamu melainkan telah Allah tuliskan untukmu.

Lakukanlah amalan yang menuju kepada kematian yang mulia supaya kamu memperolehi kebahagian yang sempurna. Allah telah mengurniakan kami dan kamu semua kemuliaan mati syahid di jalan Allah.

-----------------
Penulis adalah antara ulamal al-Azhar dan anggota Kesatuan Ulamak Islam sedunia

 Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=66465&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top