Tuesday, August 17, 2010

Kelebihan Bulan Ramadhan

Oleh: Syeikh Hijazi Ibrahim Tharya

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya, serta orang-orang yang mengikutinya dengan baik sehingga hari kiamat. Selepasnya:

Firman Allah SWT (bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana orang-orang terdahulu sebelum  kamu mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang agung, yang membawa kelebihan-kelebihan yang banyak, kurniaan dari Allah yang luas serta pahala dan ganjaran yang diebrikan kepada orang yang merebutnya. Rasulullah saw menyebut tentang kelebihan ramadhan semasa di penghujung Sya’ban dan ketibaan Ramadhan.

Daripada Salman r.a, Rasulullah telah berkhutbah di hari terakhir bulan Sya’ban dengan sabdanya (bermaksud):  “Wahai manusia, akan datang kepada kamu satu bulan yang agung, bulan yang berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah jadikan berpuasa pada siangnya satu kefarduan, menghidupkan malamnya dengan qiyamullail sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan Allah pada bulan ini dengan melakukan amalan sunat, pahalanya seperti beliau melakukan amalan yang wajib pada bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan Allah pada bulan ini dengan melakukan satu amalan wajib, pahalanya seperti beliau melakukan tujuh puluh amalan yang wajib pada bulan yang lain. Ramadhan juga bulan kesabaran. Sabar balasannya ialah syurga. Ramadhan bulan kebersamaan dan bulan yang ditambah rezeki orang mukmin. Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa akan memperoleh keampunan daripada dosanya dan dibebaskan daripada api neraka, ia juga memperolehi pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Para sahabat bertanya, ‘Tidak semua orang daripada kalangan kami yang mampu untuk menjamu orang berbuka puasa. Apa yang perlu kami lakukan?’ Rasulullah menjawab, ‘Allah memberi ganjaran seumpama ini bagi sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka puasa walaupun hanya sebiji kurma, seteguk air atau seteguk susu. Ramadhan ialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pembebasan dari api neraka”. (Ibn Khuzaimah, Baihaqi dan Ibn Ady)

Di antara ibadah yang Allah khususkan pada bulan Ramadhan:

1. Puasa, dengan menahan diri daripada berbuka atau makan yang sedia dimaklumi dan menegah anggota daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Kalau tidak melakukan perkara tersebut bagaimana hendak dikira bermuraqabah kepada Allah sedangkan tidak gerun kepadaNya, dan bermuraqabah kepada Allah tidak mampu menghalangnya daripada perkara yang tidak diredai oleh Allah. Berapa ramai orang yang berpuasa tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud): “Orang yang tidak mampu menghalang daripada berkata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak memberikan ganjaran kepadanya kerana tidak makan dan minum (berpuasa)”.(Bukhari dan Tirmizi)

Puasa datang untuk membuatkan manusia merasai bahawa dia wajib mengutamakan Allah mengatasai keperluan dan keinginan dirinya sendiri. Dia juga wajib memenuhi tuntutan Allah melebihi daripada tuntutan dirinya sendiri. Daripada Abu Hurairah r.a,  Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud): “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah tentulah diampun dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari)

2. Al-Quran turun pada bulan Ramadhan: Allah telah mengkhususkan bulan yang agung ini dengan penurunan al-Quran. Firman Allah SWT (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah turunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr”. (Al-Qadr: 1)

Al-Quran diturunkan oleh Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah SWT (bermaksud): “Alif, Lam, Ra. Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang-benderang dengan izin Tuhan, iaitu menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”. (Ibrahim: 1)

Al-Quran juga kitab yang membawa hidayah kepada manusia keseluruhannya. Firman Allah SWT (bermaksud): “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan batil”. (Al-baqarah: 185) 

3. Qiamullail: Di bulan Ramadhan terdapat amalam qiam pada malamnya. Allah telah menetapkan sesiapa yang bersungguh-sungguh mendirikannya akan diampunkan segala dosa-dosa yang telah lalu. Daripada Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah saw bersabda (bermaksud): “Sesiapa yang menghidupkan qiam pada malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

4. Malam Lailatul Qadar: Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT (bermaksud): “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”. (Al-Qadr: 3)

Orang yang bangun pada malam itu dihapuskan segala kesalahan dan diampunkan dosanya. Sabda nabi saw: “Sesiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”.

5. Iktikaf: Beriktikaf pada sepuluh yang akhir di bulan Ramadhan adalah termasuk petunjuk Rasulullah saw. Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: “Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh yang akhir pada bulan Ramadhan”. (Bukhari dan Muslim)

Puasa merupakan bekalan kita untuk menghadapi musuh

Melalui ibadah puasa mampu menguatkan kemahuan dan mendidik kesabaran. Ini kerana orang yang berpuasa sanggup berlapar padahal di hadapannya keinginan untuk makan, menahan dahaga padahal di tangannya terdapat air sejuk dan menegah daripada berseronok padahal di sampingnya adalah isterinya. Tiada yang memerhatikannya pada saat itu melainkan Tuhannya dan tiada kuasa yang menguasai ketika itu melainkan emosinya dan tidak akan terjadi melainkan dengan kemahuan yang teguh dan penuh sedar kerana Ramadhan mengajar erti sabar. Oleh sebab itu Ramadhan dinamakan bulan kesabaran. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda (bermaksud): “Segala perkara ada zakat. Zakat jasad ialah puasa”. Sabda nabi lagi: “Puasa separuh kesabaran”. (Ibn Majah dan Baihaqi)

Sesungguhnya Islam bukanlah agama yang menyerah dan berasa malas, bahkan Islam adalah agama jihad dan perjuangan yang berterusan. Justeru bekalan yang pertama untuk berjihad ialah sabar dan kemahuan yang kuat. Sekiranya orang yang tidak mampu berjihad melawan nafsunya jauh sekali mampu melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu memenangi ke atas nafsu dan syahwatnya jauh sekali mampu memenangi perjunagan melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu bersabar menahan lapar dalam sehari jauh sekali mampu bersabar menghadapi perpecahan penduduk demi matlamat yang besar.

Ibadah puasa terkandung makna sabar. Melemahkan penguasaan nafsu merupakan langkah Islam yang paling nyata dalam mempersiapkan mukmin yang sabar yang tangkas dan mujahid, yang bersedia menanggung kehausan, kelaparan dan kepayahan, yang sanggup menempuh keperitan, kesukaran dan tekanan hidup selagi mana masih di jalan Allah.

Wahai umat Islam,

Sesungguhnya Ramadhan termasuk dalam musim-musim ibadah yang besar dan persembahan yang menarik untuk perniagaan akhirat. Ibadah-ibadah ini menjadi indah sesuai dengan waktu-waktunya, yang dihiasi masa-masanya dan yang manis pada siang dan malamnya. Ibadah-ibadah begitu indah pada setiap masa namun pada bulan ini tentu lebih indah kerana ganjarannya di sisi Allah lebih besar dan banyak. Oleh sebab itu orang Islam mestilah mengambil peluang dengan merebut keagungan ini dan menyambut ketibaannya dengan taubat nasuha, niat yang tulus untuk melakukan ketaatan, kemahuan yang kuat dan cita-cita yang tinggi untuk meneruskan ibadah sehingga ke penghujung Ramadhan supaya tertulis sebagai golongan yang dilepaskan daripada api neraka. Juga memperbanyakkan empat amalan yang digalakkan oleh Rasulullah saw, seperti sabda nabi: “Perbanyakkan di bulan Ramadhan dengan empat amalan: Dua amalan yang diredai Allah kepada kamu dan dua lagi amalan yang sangat kamu perlukan. Amalan yang diredai Allah ke atas kamu ialah: Mengucapkan syahadah Tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu sentiasa beristighfar. Manakala amalan yang sangat kamu perlukan ialah: Memohon kepada Allah dikurniakan syurga dan berlindung daripada siksaan api neraka”. 
 
Justeru anda hendaklah memperbanyakkan tilawah al-Quran kerana Ramadhan adalah bulan al-Quran. Pada bulan ini al-Quran telah diturunkan dan Jibril mengajar dan membacakannya kepada Rasulullah saw sehinggakan pada tahun akhir kewafatan Rasulullah saw mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibril. 

Orang Islam juga hendaklah memperbanyak sedekah, meringankan bebanan orang fakir dan miskin dan meraikan mereka dengan kebaikan dan pemberian. Inilah bulan yang meninggikan nilai ruhiyyah ke atas nilai kebendaan dan memandang kecil kehidupan dunia berbanding akhirat.

Allah menggandakan pahala orang yang bersedekah dan memberikan ganjaran yang besar kepada orang yang memenuhi keperluan orang miskin dan melembutkan hati mereka untuk membantu anak-anak yatim dan ibu tunggal. Sifat pemurah dan dermawan mereka kerana mengambil teladan daripada Rasulullah saw yang mempamerkan sifat dermawan dan mulia. Bahkan baginda adalah manusia yang paling baik di bulan Ramadhan ketika Jibril membacakan al-Quran.  Daripada Ibn Abbas r.a, berkata: “Nabi saw manusia yang paling dermawan dalam perkara kebaikan dan manusia yang paling dermawan dalam bulan Ramadhan ketika Jibril datang menemuinya. Jibril menemui baginda setiap malam di bulan Ramadhan sehingga penghujungnya dan Nabi saw membacakan al-Quran di hadapan Jibril. Apabila Jibril datang menemui nabi, baginda menjadi manusia lebih dermawan daripada angin yang bertiup”. (Bukhari dan Muslim)

Umat Islam hendaklah mengeratkan silaturrahim, saling sayang-menyayangi, saling ziarah-menziarahi dan kasih-mengasihi dengan jiran tetangga dan kaum kerabat, berbaik dengan semua orang mukmin dan menjauhi perpecahan, menamatkan persengketaan dan membersihkan hati dari penipuan dan hasad dengki. Firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu yang berselisih dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”. (Al-Hujurat: 10)

 Firman Allah SWT  (bermaksud): “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: Ya Tauhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh, Engkau maha Penyantun lagi Maha Penyayang”. (Al-Hasyr: 10)

Kata penyair:
“Ramadhan datang sebagai ladang …untuk membersihkan hati daripada keburukan. Oleh itu tunaikanlah hak-haknya melalui perkataan dan perbuatan...ambillah sebagai bekal kepada hari kesudahan. Justeru orang yang menanam benih sedang dia tidak menyiramnya…tentulah semasa menuai hasil nanti akan menyesal”.

Tahniah kepada dunia Islam

Kami mengucapkan tahniah kepada dunia Islam keseluruhannya dengan ketibaan bulan yang berkat ini. Kami memohon kepada Allah supaya diawal bulan ini penuh kebaikan, keberkatan dan kesatuan kepada umat Islam, kemenangan dan pertolongan Allah kepada mereka. Begitu juga kami berdoa kepada Allah supaya mengikat hati saudara-saudara kami para mujahidin di setiap tempat, membebaskan saudara kami yang menjadi tawanan dan memberi dunia yang merdeka kekuatan untuk berusaha bagi melepaskan kepungan ke atas rakyat Palestin sehingga mereka diberikan kebebasan dan memperolehi segala keperluan untuk kehidupan mereka pada bulan yang berkat ini.

Adapun saudara-saudara kami yang berada di dalam penjara-penjara penjajah dan penzalim, kami ucapkan tahniah kepada mereka dan keluarga mereka dengan kedatangan bulan kesabaran dan kami katakan kepada mereka: ‘Sabarlah kerana malam untuk orang-orang yang zalim akan berlalu dan cahaya fajar Islam akan datang. Cahayanya terang di ufuk. Justeru hanya perlukan kesabaran seketika sahaja’.

Firman Allah SWT (bermaksud): “Dan pada hari kemenangan bangsa Rom itu bergembiralah orang-orang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki. Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang”. (Ar-Rum: 4-5)  
  
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=69231&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top