Saturday, August 14, 2010

Keistimewaan Bulan Ramadhan


Oleh: Dr. Ahmad Abdul Hadi Syahin Hamudah

1. Ramadhan sebaik-baik dan semulia-mulia bulan

Allah telah melebihkan bulan, hari dan malam tertentu ke atas yang lain. Allah telah melebihkan dan memuliakan bulan Ramadhan ke atas bulan yang lain sekalipun tidak termasuk dalam bulan-bulan haram. Ini kerana Allah telah melebihkan siangnya dengan ibadah puasa dan malamnya dengan qiam. Puasa Ramadhan termasuk salah satu daripada rukun Islam yang lima yang telah diketahui sebagai tanggungjawab agama.  

Allah telah melebihkan bulan Ramadhan ke atas bulan yang lain sepanjang setahun. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:  

“Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah mewajibkan berpuasa. Di bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta syaitan dibelengu. Di dalam bulan ini mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka barangsiapa yang tidak berhasil memperolehi kebaikannya, maka tidak dapat lagi ia memperolehi kebaikan selama-lamanya”. (Nasai dan Baihaqi)

Sabda nabi:

Berseru suara (malaikat) yang menyeru: “Wahai pencinta kebaikan, bergembiralah. Wahai pencinta kejahatan, berhentilah, sehingga Ramadhan berakhir”. (Ahmad)

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda:
 
“Solat lima waktu, jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan kesalahan-kesalahan yang terjadi di antara masing-masing apabila kesalahan syirik dijauhi”. (Muslim)

2. Ramadhan adalah bulan berpuasa

Di antara keutamaan yang Allah khususkan kepada bulanRamadhan tidak pada bulan yang lain ialah Allah mewajibkan ibadah puasa yang ditunaikan pada siang hari bulan Ramadhan. Firman Allah:  

“Barangsiapa di antaramu yang melihat (anak bulan) maka hendaklah berpuasa”. (Al-Baqarah: 185)

Di dalam hadith berkenaan Islam yang dibina di atas lima perkara, nabi saw menyatakan salah satunya ialah: “Puasa Ramadhan..”. (Bukhari)

Di dalam riwayat Talhah bin Ubaidillah r.a, bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada nabi saw: 

"Wahai Rasulullah nyatakanlah kepadaku tentang puasa yang Allah wajibkan kepadaku? Lalu nabi menjawab: “Bulan Ramadhan”.  Kemudian dia bertanya lagi: Adakah ada lagi untukku? Jawab nabi: Tidak, kecuali puasa sunat” (Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a , Sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah pasti dosa-dosanya yang terdahulu diampunkan”. (Bukhari)

Di antara keistimewaan puasa ialah sebagai satu-satunya ibadah yang terletak di antara hamba dan Tuhan. Di dalam sebuah hadith Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda:
 
“ Semua amalan manusia untuk dirinya, kecuali puasa, maka itu aalah untukKu dan Aku akan memberinya ganjaran. Satu hasanah bersamaan sepuluh kali ganda kerana meninggalkan makan, minum dan syahwatnyakeranaKu. Dan orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan yang menyenagkan hati. Di kala berbuka ia akan gembira dengan berbuka itu dan disaat ia menemui Tuhannya, ia bergembira kerana puasanya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum dari kasturi di sisi Allah di hari Kiamat”. (Bukhari) 

Orang yang berpuasa dengan merasai kehausan akan dibalas oleh Allah di hari Kiamat nanti dengan mengurniakan sebuah pintu di syurga yang khusus untuk orang-orang yang berpuasa yang dinamakan Ar-Rayyan. Sabda nabi saw:

“Sesunggunya di syurga itu mempunyai sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan (memuasakan dahaga). Maka pada hari Kiamat akan dipanggil: Hai mana orang yang berpuasa?. Maka apabila telah masuk orang yang terakhir dari mereka ditutuplah pintu syurga itu”. (Bukhari dan Muslim)

Puasa adalah madrasah tarbawi (pendidikan) yang mendidik muslim dengan keutamaan Islam dan kemuliaan akhlak: 
1.      Seorang muslim mempelajari erti kesabaran kerana menegah daripada makan, minum dan syahwat. Justeru puasa memperkuatkan kemahuan untuk menanggung kepayahan dan kesukaran hidup
2.      Seorang muslim mempelajari erti kebersamaan dan keprihatinan tentang keadaan orang miskin dan susah. Justeru akan mendorong untuk menyumbangkan harta. Seterusnya orang kaya meringankan kesusahan orang miskin dan orang yang kuat membantu orang yang lemah.
3.      Mempelajari disiplin dan adab di dalam kehidupan yang perlu kepada amalan secara berjamaah, di mana orang-orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa pada masa yang sama, berbuka pada masa yang sama. Oleh itu mereka seumpama satu jasad dan satu binaan yang kukuh.

3. Ramadhan adalah bulan Qiam

Allah telah mengkhususkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan keutamaan qiam. Sabda nabi saw:  

“Barangsiapa yang bangun (qiam) di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu”. (Bukhari)


Dilaporkan bahaw nabi saw pada kebiasaannya akan mendirikan solat qiam tidak lebih sebelas rakaat pada bulan Ramadhan dan bulan lainnya. Pada setengah malan baginda menunaikan solat sebanyak tiga belas rakaat dan pada bulan Ramadhan tiada had yang diketahui untuk baginda solat qiam. Ketika nabi saw ditanya tentang qiamullail, nabi menjawab:
 
“Dua dua (rakaat). Kalau seorang kamu bimbangkan telah hampir masuk waktu subuh tunaikanlah solat satu rakaat witir yang juga dikira solat qiam”. (Bukhari)

Namun yang utama seperti yang biasa nabi saw lakukan iaitu tunaikan solat sebanyak sebelas rakaat secara tenang, tidak tergopoh-gapah, khusyuk, ikhlas, menghadirkan hati dan keinginan yang tulus untuk mendekatkan diri kepada Allah. Nabi saw telah bersabda:  

“Aku telah menjadikan solat sebagai penenang hatiku”. (Bukhari)

Kita memohon kepada Allah supaya menerima puasa, qiam dan amal soleh kita.

4. Ramadhan adalah bulan al-Quran

Di antara keistimewaan bulan Ramadhan ialah ayat al-Quran yang pertama diturunkan berlaku pada bulan Ramadhan. Firman Allah: 

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan batil)”. (Al-Baqarah: 185)

Seorang muslim disunatkan memperbanyakkan tilawah al-Quran di bulan Ramadhan. Sesungguhnya Jibril dan nabi saw saling bertadarus al-Quran di sepanjang Ramadhan . Pada tahun terakhir kewafatan nabi saw mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibril.

Di dalam sebuah hadith nabis saw, bersabda:  

“Puasa dan al-Quran itu akan memberi syafaat bagi hamba di hari Kiamat. Puasa berkata: “Ya Tuhan, aku menyebabkab dia menahan makan dan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku izin untuk memberi syafaat untuknya”. Dan berkata al-Quran: “Aku mencegah dia tidur di malam hari, sebab itu izinkalah aku memberi syafaat untuknya”. Maka syafaat kedua-duanya diterima Allah”. (Ahmad)

Disunatkan semasa bertilawah al-Quran dan mendengar bacaannya untuk melakukan perkara berikut:
-          Diam dan dengar
-          Tadabbur
-          Menghadirkan hati
-          Meninggalkan kesibukan
-          Merasai keagungan ayat dan wahyu
-          Meningkatkan diri dari semasa ke semasa
-          Merasai bahawa setiap ayat ditujukan kepada anda sahaja

5. Ramadhan adalah bulan sedekah (zakat fitrah)

Di antara keistimewaan Ramadhan ialah di dalam bulan ini ada ibadah zakat fitrah yang merupakan sedekah wajib ke atas setiap muslim yang tidak memerlukan kekuatan siang dan malam. Seorang muslim mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan ahli keluarga yang ditanggungnya sebagai asas mendekatkan diri kepada Allah bagi membantu golongan fakir dan miskin sahaja serta meringankan bebanan mereka pada hari raya. Zakat fitrah juga untuk membersihkan diri orang berpuasa daripada amalan sia-sia dan percakapan kotor yang tidak layak diucapkannya, menyucikan diri daripada terikat kepada cintakan harta dan dunia. Sunat zakat fitrah dibayar dalam bentuk bijian. Para fuqahak mengharuskan zakat dibayar dalam bentuk nilai (RM) sesuatu harta, tetapi boleh pilih mana yang terbaik untuk kemaslahatan orang fakir.  

Di dalam hadith dari Ibn Abas r.a berkata:
 
“Nabi saw mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada amalan sia-sia dan perkataan jelek dengan memberikan makanan kepada orang fakir dan miskin. Sesiapa yang membayarnya sebelum solat Idul Fitru sebagai zakat fitrah yang diterima dan sesiapa yang membayar selepas solat, maka sebagai sedekah”. (Abu Daud dengan sanad yang sahih)

6. Ramadhan terkandung suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan  

Allah telah mengkhususkan bulan Ramadhan dengan malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

 Firman Allah:
 
“Sesungguhnya Kami telah menurunknnya (al-Quran)  pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itru lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar”. (Al-Qadr: 1-5)  

 Firman Allah:  

“Sesungguhnya, Kami menurunkannya pada malam yang diberkahi. Sungguh, Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”. (Ad-Dukhan: 3-4)

Daripada Abu Hurairah r.a, sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang bangun malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah pastilah dosa-dosanya yang terdahulu akan diampunkan”. (Bukhari)

Nabi saw menghidupkan malam Lailatulqadar dan menyuruh para sahabat melakukannya. Begitu juga baginda menghidupkan sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan khususnya memenuhi malam secara bersendirian dan menurut riwayat yang kuat pada malam ke 27.

Daripada Ubai bin Kaab r.a berkata:  

Demi Allah, aku tahu benar malam apakah itu, iaitu malam yang disuruh oleh Rasulullah saw untuk melaksanakan qiam. Iaitu malam ke dua puluh tujuh (27). Ubai telah bersumpah menyokong kenyataannya. Beliau turut memberikan tanda seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah saw bahawa matahari terbit pada keesokan paginya tanpa memancarkan cahaya”. (Ibn Nuaim)

Daripada Aisyah r.a berkata:  

“Wahai Rasulullah sekira aku dapat bertemu malam Lailatulqadar apakah yang patut aku ucapkan? Sabda nabi: “اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني". (Ya Allah, sesungguhnya engkau maha Pengampun dan suka mengampunkan dosa..ampunilah dosaku). (Ibn Majah)

Kita memohon kepada Allah menerima puasa, qiam dan amal soleh kita.

------------
Penulis adalah Profesor dakwah dan perbandingan agama di fakulti Usuludin Universiti Al-Azhar


Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53556&SecID=363



Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top