Wednesday, July 21, 2010

Tarbiyyah Melalui Latihan…Kehidupan Ulamak Tabien Sebagai Teladan


Oleh: Asyraf Hasan Tobli

Sesungguhnya nabi saw telah memuji para Tabien dengan sabdanya:  

“Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian orang-orang selepas mereka, kemudian orang-orang selepas mereka”

Para Tabien adalah golongan yang paling mengetahui jalan mentarbiyyah jiwa. Mereka telah meninggalkan warisan yang agung kepada kita yang berbentuk wasilah atau jalan. Mereka telah meninggalkan bekalan yang paling suci dan bersih untuk melaksanakan tarbiyyah (pendidikan).

Di antara wasilah tarbiyyah mengikut para Tabien dalam mentarbiyyah jiwa ialah dengan latihan, seperti yang diungkapkan oleh Abdullah bin Mubarak: “Sesungguhnya para solihin masa yang berlalu menjadikan jiwa mereka sentiasa sukakan kebaikan sedangkan jiwa kita bencikan kebaikan. Kerana itu sepatutnya kita membenci jiwa yang kotor yang bencikan kebaikan”. (Sofwatus-Sofwah dan Minhajul Qasidin)

Oleh itu jiwa seseorang bukan mudah melakukan ketaatan tetapi melalui tarbiyah dan latihan lama-kelamaan ketaatan itu menjadi sebati dan cair. Menurut Ahmad bin Tha’labah: Aku mendengar Salem Khawasy berkata: “Semasa aku membaca al-Quran, aku tidak dapat merasai kemanisannya”. Aku berkata kepada diriku: “Bacalah al-Quran seolah-olah engkau mendengar pesanan dari nabi saw” . Lalu datang sedikit kemanisan. Kemudian aku berkata kepada diriku: “Bacalah al-Quran seolah-olah engkau mendengar Jibril a.s menyampaikan berita kepada nabi saw”. Lalu bertambah rasa kemanisan. Kemudian aku katakan kepada Salem: “Bacalah al-Quran seolah-olah engkau mendengar Jibril berkata-kata dengan nabi saw”. Dengan itu dia benar-benar merasai semua kemanisan iman. (Hillyatul Auliaya’ dan Safwatus-Sofwah)

 Demikianlah seorang ulamak Tabien yang mulia yang merasai kemanisan dalam ibadah dan ketaatan di mana jiwanya meningkat dari satu tahap ke tahap yang lain. Justeru kekurangan dan kelemahan para duat hari ini ialah melaksanakan ketaatan tetapi tidak konsisten serta tidak merasai kemanisan ketaatan.

Wahai Para Duat,

Sesungguhnya jalan untuk menyucikan jiwa ialah membiasakan sesuatu perbuatan yang lahir dari jiwa yang suci lagi sempurna sehingga sesuatu ibadah kembali berulang-ulang dan menjadi biasa seperti jiwa yang suci bersih. Lalu merasa ringan dan mudah membuat sesuatu kebaikan yang pada awalnya dirasai berat. Oleh itu orang yang ingin mencapai akhlak yang baik untuk dirinya jalan terbaik ialah membebankan diri dengan melakukan perbuatan baik seperti mengorbankan harta benda. Dia perlu membiasakan diri sehingga merasa mudah dan senang melakukannya. Lantas  jiwanya menjadi baik dan elok hingga jiwanya benar-benar baik dan bersih. Begitulah dalam semua perkara ketaatan dan akhlak mulia. Berapa banyak masa yang telah berlalu dihabiskan dalam perkara selain ketaatan dan ibadah?

Generasi yang cemerlang ini sangat membenci pengangguran. Oleh itu mereka sangat mengambil berat tentang latihan terhadap pengikut dan murid mereka. Menurut Abdullah bin Abdul Malik: Kami bersama ayah di atas unta tunggangannya yang sedang berjalan, lalu ayah berkata: “Bertasbilah kamu sehingga kamu tiba di pohon itu”. Lalu kami bertasbih hingga tiba di situ. Apabila kami sampai di pohon yang lain sekali lagi ayah menyuruh sambil berkata: “Bertakbirlah kepada Allah hingga kamu tiba di pohon itu”. Itulah yang dilakukan oleh ayah kepada kami. (Zuhud oleh Imam Ahmad)

Demikianlah para Tabien membiasakan diri mereka dengan tasbih dan takbir. Para salihin berkata: Kami membebankan diri dengan sesuatu perkara hingga biasa dengannya. Menurut Abu Adiy: Daud bin Abi Hind menemui kami, lalu berkata: “Wahai pemuda, aku mahu memberitahumu sesuatu mudah-mudahan sebahagian kamu memperolehi manfaat dengannya. Aku dan bersamaku seorang budak telah berselisih semasa menuju ke pasar. Ketika aku bertukar arah ke rumahku, aku telah berzikir kepada Allah sampai ke tempat sekian sekian. Bila aku sampai di tempat sekian aku terus berzikir kepada Allah sehingga aku sampai di tempat sekian sekian. Aku berbuat begitu sehingga aku tiba di rumah”. (Hilyatul auliya’)

Di antara kebijakan dalam melatih kanak-kanak tentang solat ialah seperti yang dilakukan oleh seorang Tabien Zabid al-Yamiy. Beliau seorang juru azan di masjid kampungnya. Baliau berkata kepada kanak-kanak: “Marilah kita menunaikan solat. Aku pasti akan berikanmu hadiah”. Beliau berkata: “Mereka datang dan mendirikan solat kemudian berada di sampingnya untuk mendapatkan hadiah”. Lalu kami bertanya kepadanya: “Apa yang kamu lakukan?” Lalu jawab Zabid: “Apa yang aku buat ialah aku belikan untuk mereka hadiah bernilai lima dirham (murah). Kanak-kanak itu kembali menunaikan solat”. (Hillyatul Auliya’)

Di antara kebijakan juga ialah seperti yang dilakukan oleh seorang Tabien yang mulia Sulaiman al-Taimiy. Dia membawa anaknya yang sedang membesar itu pada waktu malam ke beberapa masjid. Dia dan anaknya menunaikan solat sekali di masjid ini dan sekali di masjid ini sambil mengajarkan solat. (Hillyatul Auliaya’)

Demikianlah Para Tabien melatih tentang solat. Begitu juga latihan hal yang lain seperti latihan menemui dan berhadapan dengan orang lain. Hal ini sangat diperlukan dalam proses tarbiyah yang menekankan aspek latihan. Ramai generasi muda era kebangkitan Islam takut untuk berhadapan dengan orang kerana ketiadaan latihan. Lihatlah apabila disuruh berikan buah fikiran atau memberi tazkirah tentang kubur maka merah padam mukanya dan kelu lidahnya. Selepas itu mereka memisahkan diri daripada berhadapan dengan orang dalam mana-mana perjumpaan.

Hassan al-Basri suatu hari menziarahi rumah saudaranya. Beliau berkata kepada salah seorang anak saudaranya: “Bercakaplah dengan kami wahai anak”. Lalu saudaranya berkata: “Kami belum sampai tahap ini wahai Abu Said”. Lalu Hassan al-Basri Rahimahullah berkata: “Kenapakah belum sampai tahap ini lagi..Syaitan suka engkau tidak menguatkan hal ini (iaitu syaitan suka manusia meninggalkan saling nasihat-menasihati dengan alasan mereka belum layak lagi). Demi Allah, jika tidak kerana Allah telah tetapkan tugas ulamak pastilah kami tidak berkata yang benar”. (Zuhud oleh Imam Ahmad)  

Berapa ramai yang mempunyai mata yang kering dankeras hatinya kerana kita tidak melatih mereka dengan tangisan dan kesedihan?! Lihatlah generasi Tabien mempunyai pendapat yang lain. Soleh al-Muriy berkata: “Tangisan adalah pemanggil untuk seseorang memikirkan tentang dosa sekiranya ia menerima hati yang menangis. Tetapi sekiranya ia tidak menerima panggilan itu dan terus dengan pendirian kerana keras hati. Inilah kesukaran dan kegoncangan”. (Sofwatus Sofwah)
 

 Oleh itu para duat apabila air matamu kering latihlah seperti yang dilakukan oleh para Tabien.
----------------
Penulis adalah seorang penyelidik di kuliyyah Darul Ulum Jabatan Syariah Islamiah

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top