Tuesday, May 25, 2010

Apabila di dalam dakwah dan diri para duat mempunyai aset




Oleh: Dr. Ahmad Zaid

Sewajarnya kita perhatikan di dalam Sahih Bukhari di dalam bab Permulaan Wahyu, sebuah hadis panjang riwayat Aisyah r.a yang mengisahkan tentang penuruhan wahyu yang pertama kepada Rasul saw di Gua Hira’. Setelah Rasul menerima wahyu daripada Jibril a.s baginda bergegas pulang ke rumah dan menemui isterinya Khadijah Ummul Mukminin r.a. Aisyah menceritakan; 

“ Rasulullah pulang dengan perasaan yang gementar sambil berkata kepada Khadijah binti Khuwailid r.a: “Selimutkanlah aku. Selimutkanlah aku. Lantas Khadijah menyelimutkan baginda sehingga hilang perasaan gementar pada diri baginda. Baginda telah menyatakan kepada Khadijah seperti yang diriwayatkan; Diriku merasa amat takut”. Lantas Khadijah mententeramkan baginda: “Tidak, demi Allah, Allah tidak akan membiarkan kamu. Kamu seorang yang menghubungkan silaturrahim, menolong semua orang, memberi makan orang yang miskin, meringankan beban orang yang susah dan menolong orang yang mencari kebenaran”.

Dengan kesedaran, kefahaman dan keteguhan seperti ini Khadijah menyantuni baginda tanpa banyak soal. Khadijah berpandangan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang da’i yang tidak mungkin akan dibiarkan oleh Allah selamanya, kenapa? Kerana pada diri baginda terkandung aset yang cemerlang berupa kerja-kerja kebajikan dan kemaslahatan yang melayakkannya menerima taufik Allah, pertolongan dan kemenangan dariNya. Oleh kerana itu hati baginda menjadi tenang lantaran perangsang daripada Khadijah.

Antara pemeliharaan Allah dan penerimaan makhluk

Apabila ucapan dakwah berubah menjadi perkataan-perkataan rintihan dan ucapan yang kontang, tanpa realiti amali yang menunjukkan tentang kejujuran pembawanya, sebenarnya ia tidak lain adalah perkataan-perkataan yang tidak diterima Allah bahkan memperolehi kebencian Allah ke atasnya. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ (2) كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لا تَفْعَلُونَ (3)
“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan? Sangat besar kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”.(As-Shaff: 2-3)

Inilah pendirian di langit. Bagaimanapun pendirian di bumi dan penerimaan makhluk, sebenarnya ia hanya perkataan dan ucapan yang tiada nilainya, kerana telah kehilangan kekuatan yang utuh yang membenarkannya dan meneguhkan kejujurannya. Bagi perkataan dan ucapan duat dapat diterima di langit serta dibukakan pintu-pintu hati makhluk di bumi maka para duat hendaklah mengetengahkan rosid amali praktikal sepertimana yang dipamerkan oleh Muhammad saw yang memiliki keutuhan peribadi yang cemerlang ini sewaktu baginda gementar dan takut.

Sunnatullah tentang pembalasan

Sunnatullah telah berlaku di alam semesta ini dengan membalas amalan manusia. Di sini kita saksikan balasan rabbani ke atas Rasul saw seperti ucapan Khadijah: “ Demi Allah, Allah tidak sekali-kali membiarkanmu”. Di dalam riwayat lain: “Allah tidak mendukacitakanmu”. Justeru amalan baginda telah menghilangkan kedukacitaan ke atas orang-orang yang dukacita dan menghapuskan keresahan kepada orang yang resah. Dengan sebab itu balasan yang diterima baginda ialah “Allah tidak membiarkanmu” dan “Allah tidak mendukacitakanmu”. Justeru Khadijah telah mensifatkan Rasul saw dengan ketinggian akhlak, iaitu berbuat ihsan samaada kepada kaum kerabat atau orang lain, menolong dengan tubuh badan atau wang ringgit, membantu orang yang merdeka atau yang masih hamba. Ini semua adalah himpunan akhlak mulia seperti yang disifatkan oleh Khadijah ke atas baginda.

Kerja-kerja kebajikan adalah bukti tulus di dalam iman dan jujur di dalam dakwah

Khidmat para duat kepada masyarakat dan menggerakkan golongan baik supaya berbuat kebajikan kepada orang lain adalah symbol benar atau tulus di dalam iman: “Sedekah itu adalah bukti”. Bukti atau dalil tentang ketulusan apa yang terkandung di dalam hati. Benar di dalam dakwah yang menggalas kepentingan manusia dan bekerja untuk kemaslahatan mereka pastilah mereka akan menerima dakwah dan menerima duat di sisi mereka. Justeru para duat hendaklah menggerakkan usaha untuk merealisasikan aset amali di dalam hubungan baik bersama kaum kerabat atau orang ramai. Pamerkanlah khidmat masyarakat sebagai orang yang pakar tentang Islam sebelum manusia hilang kepercayaan kepada duat .

Yakinlah slogan kita bahawa “Islam adalah jalan penyelesaian”. Dakwah kita yang penuh keberkatan telah berjaya di dalam pelbagai lapangan, khasnya aspek kebajikan dan khidmat yang telah mempraktikkan manhaj nabawi ini di dalam khidmat masyarakat. Kita amat memerlukan aset ini yang telah merealisasikan ruh dakwah secara amali supaya berlaku penerimaan masyarakat dan seterusnya datangnya pertolongan, inayah dan bantuan Allah. Kita katakan bahawa “Allah tidak akan selama-lamanya membiarkan kita’.

Mewarisi rosid dan menurunkan warisan kepada generasi seterusnya
 
Di antara perkara yang menakjubkan saya ialah kesan yang jelas yang telah ditinggalkan oleh Rasul saw kepada para sahabat. Mereka telah mendokong aset ini secara amali seolah-olah mereka seperti cetakan daripada murabbi pertama kepada sahabatnya. Diriwayat daripada Aisyah r.a yang diakui sahih, beliau berkata:

“Aku tidak terfikir tentang ibu bapa ku kecuali mereka berdua sentiasa menghiasi dirinya dengan agama. Dalam sehari tidak akan berlalu melainkan nabi akan datang menemui kami pada siang hari samaada pagi atau petang. Ketika kaum muslimin ditimpa ujian Abu Bakar telah mula keluar berhijrah sebelum perintah Hijrah ke Habsyah. Setiba beliau di Barq al-Ghamam, Abu Bakar telah ditemui Ibn al-Daghnah yang merupakan ketua kampong di situ. Ibn al-Daghnah bertanya: “Tuan hendak ke mana?”. Abu Bakar menjawab: : “Kaumku telah mengusir ku, dengan itu aku mahu bersiar ke mana-mana dunia untuk menyembah tuhan ku”. Lantas Ibn al-Daghnah menjawab: “Orang seperti kamu tidak mungkin keluar atau dihalau kerana kamu seorang yang sering menolong orang yang tiada upaya, menghubungkan silaturrahim, prihatin kepada semua golongan, memberi makan kepada orang miskin, membantu orang yang lemah dan menolong yang mencari kebenaran. Aku bersedia menjadi pelindung mu. Pulanglah, sembahlah tuhanmu di negeri kamu”. Dengan itu Ibn al-Daghnah dan Abu Bakar kembali ke Mekah dan melakukan Tawaf di hadapan pembesar Quraisy. Pihak Quraisy menerima perlindungan yang diberikan oleh Ibn al-Daghnah kepada Abu Bakar sehingga mereka tidak mengganggu lagi Abu Bakar selepas itu”.

Sesungguhnya kenyataan Ibn al-Daghnah kepada Abu Bakar As-Siddiq menyerupai kata-kata Khadijah kepada nabi saw . Inilah pewarisan aset amali kepada generasi duat yang tidak berkurang antara satu generasi dengan generasi yang lain. Rosid ijtimae (aset)  yang berbetuk kebajikan ini akan melayakkan duat untuk teguh dengan dakwah mereka di tengah gelanggang masyarakat, meneguhkan langkah mereka dan kewujudan mereka di medan masyarakat. Justeru mereka tidak akan mengeluarkan diri atau dikeluarkan oleh masyarakat..

Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=64660&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top